Monday, September 20, 2010

Analisis filem seram MANTRA


  • Filem terbitan Metrowealth ini membuatkan penonton sukar bernafas sepanjang menyaksikannya. Bukan sahaja kerana sentiasa diselubungi perasaan cemas dan mendebarkan, malah beberapa babak yang dipaparkan jelas menjerat perhatian penonton sehingga terpaku di depan skrin televisyen dan tidak berganjak kemana-mana kerana plot penceritaannya berantau dan kesudahannya tidak dapat diramal.

  • Mantra jelas berbeza dan menakutkan hanya bersandar pada barisan pelakon baru yang tidak punya nama kuat. Paling berkesan ialah lakonan bekas vokalis kumpulam rock, Handy Black iaitu Zul yang menggalas watak Muzir dengan baik.

  • Malah pelakon yang sebelum ini pernah membintangi filem Janji Diana dan Santau itu tidak kekok menghidupkan watak Muzir meskipun pada dasarnya ia bukan mudah kerana memerlukan penelitian mendalam bagi menterjemahkan setiap ekspesi wajah ketakutan, keliru, emosi, dan penuh dendam.

  • Filem arahan Azhari Zain ini menceritakan perihal ilmu hitam dan kesannya kepada pemakai. Mantra meninjau perspektif lebih luas dan mendalam hingga ada kalanya penonton rasa mual dan loya melampau dengan paparan impak serta dosa pengamal ilmu hitam.

  • Ia mengisahkan Muzir yang sudah berkahwin dan sayangkan isterinya lakonan Ana Dahlia ditipu sahabat baiknya, Hasbi lakonan Hasnul Rahmat. Muzir dan Hasbi menuntut ilmu hitam bagi menguatkan diri dan batin mereka, namun sayang ketika sibuk menyelongkar kubur bagi memenuhi tuntutan ilmu itu, Muzir terperangkap oleh orang kampung hingga dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Hasbi terlepas dan berkahwin dengan isteri Muzir.

  • Sepuluh tahun Muzir terkurung di dalam penjara dia bertemu lelaki tua, Embah yang nazak. Embah menurunkan ilmu hitamnya kepada Muzir tetapi timbul masalah apabila bilik penjara itu dikunci dengan ayat suci serta kalimah Allah. Usaha itu bagaimanapun menjadi apabila warden yang dipanggil Pak Long bersetuju memadam ayat suci dan kalimah Allah itu. Akibat cintakan isteri dan terdesak, Pak Long turut bersetuju menyediakan tiga jenis hidangan untuk penjaga ilmu hitam dan mengambil tali pengikat pocong wanita mati yang diminta Muzir.`

  • Berlakulah perubahan ilmu Muzir dengan air melimpah di bilik penjara serta penjelmaan makhluk hitam. Serentak dengan itu, Muzir muncul di permukaan paya lalu melakukan pembunuhan sebagai penyembahan kepada penjaga ilmu hitam miliknya. Bermulalah pembalasan dendan kesumat Muzir terhadap Hasbi.

  • Pendek kata, Mantra yang sarat dengan elemen seram berjaya mengikat perhatian penonton. mungkin kerana jalan ceritanya yang segar dan tidak menyerupai mana-mana karya seram lain serta lebih bersifat logikal dan dekat dengan masyarakat Melayu menepati selera penonton.

  • Sesuatu yang menarik, Mantra dapat dijadikan panduan atau biografi kepada penonton yang ingin melihat keadaan menakutkan dalam Penjara Pudu yang berusia lebih 100 tahun kerana babak penjara dilakukan di situ.Ada yang berpendapat, Mantra terlalu banyak mendedahkan perihal ilmu hitam hingga ada beberapa babaknya kelakar dan tidak logik, namun jika diperhati daripada sudut berbeza, karya ini dapat menyentuh satu persepsi lain yang mungkin mengungkap kegiatan sebenar serta impak kepada seseorang yang mengamalkan ilmu hitam